
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, harga itu tidak termasuk cukai dan fi.
Katanya, melalui pelaksanaan program perintis itu, kerajaan akan membeli semua baki tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga hari perjalanan sebelum sambutan dua perayaan itu.
Setakat semalam, masih ada 17,708 tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Bagi laluan Johor Bahru-Sibu, katanya, tiket sudah habis dijual bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai.
“Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas dengan kekerapan sekali sehari pada tarikh tersebut, tertakluk kepada permintaan sebenar,” katanya dalam sidang media di sini.
Loke berkata, semua tiket boleh dibeli melalui laman sesawang syarikat penerbangan mulai 20 Mei ini.
Katanya, dianggarkan RM5.8 juta hingga RM11.4 juta diperlukan untuk pelaksanaan subsidi itu yang meliputi bayaran perolehan baki tiket penerbangan dan sewa khas penerbangan.
“Pemberian bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman untuk perayaan Pesta Kaamatan/Hari Gawai.”