KJ mungkin terima tawaran PN jika jadi calon MB, kata pemimpin Umno

KJ mungkin terima tawaran PN jika jadi calon MB, kata pemimpin Umno

Lokman Adam berkata, bekas menteri kesihatan itu mungkin menerima tawaran Muhyiddin Yassin jika tidak sabar.

Lokman Adam percaya Khairy Jamaluddin bijaksana dan tidak akan membuat keputusan terburu-buru menyertai pembangkang.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin mungkin menerima tawaran Muhyiddin Yassin menyertai Bersatu, jika beliau dinamakan sebagai calon menteri besar oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang, kata seorang pemimpin Umno.

Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Adam berkata, perkara ini mungkin dituntut bekas menteri kesihatan itu “jika tidak sabar dengan keadaannya sekarang”.

“Tak mustahil Khairy diterima semula (oleh Umno),” kata Lokman dalam sesi soal jawab secara langsung di Facebook Live semalam.

“(Namun) kalau gelojoh dan tak sabar, maka beliau akan terima pelawaan Muhyiddin jadi calon PN, calon menteri besar … tidak mustahil.”

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan di negeri mana Khairy akan dicalonkan sebagai menteri besar, tetapi kemungkinannya adalah Selangor dan Negeri Sembilan.

Lokman, yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, BN dan PH tidak harus leka kerana kerajaan perpaduan “tidak selamat” ketika ini.

“Saya nak beritahu PH, jangan selesa sangat … kita tidak kuat langsung (sekarang ini),” katanya.

“Bukan perkara mudah untuk kita dapat sokongan, khususnya orang Melayu … apatah lagi kebelakangan ini, banyak bangkit isu yang mudah diputar belit oleh PN untuk mereka peroleh kelebihan.”

Semalam, Muhyiddin menawarkan Khairy kerusi dalam Majlis Pimpinan Tertingginya, jika bekas pemimpin Umno itu memutuskan untuk menyertai Bersatu.

Pengerusi PN itu dilaporkan berkata, terdapat dua kekosongan dalam MPT Bersatu dan beliau sudah berbincang dengan pemimpin Bersatu lain.

Menjawab soalan penonton sama ada Khairy akan mengikut jejak Dr Mahathir Mohamad, yang dipecat Umno pada 1960-an, tetapi diterima semula sebelum menjadi perdana menteri, Lokman tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau Khairy betul-betul bijaksana, beliau akan bersabar, tunggu suatu hari nanti dapat kembali ke pangkuan Umno.

“Saya rasa KJ bukanlah orang yang tak boleh berfikir…beliau masih boleh berfikir dengan waras. Saya rasa beliau pun tahu, Umno masih lagi pilihan utamanya.

“(Saya) juga pernah dibuang oleh Zahid Hamidi, tetapi diambil balik (menyertai Umno) oleh beliau.”

Ditanya mengapa BN memilih untuk berganding bahu dengan PH dan bukannya PN selepas PRU15, Lokman berkata, pengalaman buruk Umno selepas membantu Muhyiddin menjadi perdana menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 masih segar dalam ingatan mereka.

“(Bersatu) hanya mempunyai 32 kerusi (pada masa itu), tetapi kita bagi (Muhyiddin) jadi perdana menteri. Tetapi (kemudian) beliau mula buli (Umno).

“Beliau bersekongkol dengan pemimpin Umno, pecah-belahkan Umno dari dalam, sogok Ahli Parlimen Umno (untuk sertai Bersatu).

“Sebab itu, apabila ada pilihan, sama ada untuk bersama PH atau PN, kita pilih pihak yang tidak ada rekod buruk dengan kita (iaitu PH),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.