
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, kebebasan bank pusat itu perlu dikekalkan bagi melindungi kepentingan rakyat, ekonomi dan pelabur daripada tekanan populis oleh ahli politik.
Katanya, pegawai BNM boleh dipanggil Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi untuk menjelaskan keputusannya, seperti kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini, yang menimbulkan kebimbangan terhadap kadar faedah pinjaman juga akan meningkat.

“Kita perlu berhati-hati untuk tidak terlalu populis atau memberi terlalu banyak input daripada ahli politik yang melihat keuntungan jangka pendek, tetapi pegawai BNM mempunyai pendirian jangka sederhana hingga panjang dalam OPR,” katanya kepada FMT.
Beliau dan bekas Ahli Parlimen, Ong Kian Ming senada, pegawai BNM perlu berdepan pertanyaan wakil rakyat dan menjelaskan perkara di bawah bidang kuasanya.
Bulan lalu, Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, yang dipengerusikan Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah. Ia satu daripada 10 jawatankuasa ditubuhkan Dewan Rakyat. Antara anggotanya ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.

Ong berkata, mesyuarat berkala BNM dan jawatankuasa Parlimen boleh meningkatkan komunikasi serta persefahaman.
Beliau turut mencadangkan BNM menerbitkan minit Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC), yang bermesyuarat enam kali setahun untuk menetapkan kadar faedah.
Katanya, menerbitkan minit mesyuarat dalam talian boleh meningkatkan ketelusan dan keterbukaan terhadap tugas BNM.
Keperluan untuk BNM bertanggungjawab kepada Parlimen dibangkitkan dalam podcast bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan selepas OPR dinaikkan kepada 3% pada 3 Mei lalu.

Katanya, bank pusat di beberapa negara lain juga dikehendaki menjelaskan keputusan mereka kepada Parlimen masing-masing.
Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, Ramon Navaratnam menyambut baik cadangan Shahril dengan berkata, “tiada apa yang perlu dirahsiakan melainkan ia soal keselamatan”.

Wong Chen berkata, setiap kali MPC menaikkan atau mengurangkan kadar faedah dan menjadi persoalan politik penting, jawatankuasa Parlimen boleh memanggil pegawai BNM untuk memberi penjelasan, yang secara tidak langsung menjelaskan pendiriannya kepada Parlimen.
“Saya hanya berharap kita tidak menyuntik populisme tidak perlu dalam perkara ini dan biar BNM terus melakukan tugas baiknya, tetapi pastikan mereka bertanggungjawab kepada jawatankuasa Parlimen.”