
Marzuki Mohamad berkata, langkah itu akan menjadi “penyelesaian senang” berbanding pembangkang dan kerajaan “buang masa, buang duit kena saman” berbolak-balik mengenai penggunaan kalimah “Allah”.
“‘Declassify’ semua, jangan sekerat-sekerat,” katanya dalam catatan di Facebook malam tadi.
Marzuki menjawab tuntutan Pengerusi DAP Lim Guan Eng semalam yang mencabar Muhyiddin menamakan bekas menteri DAP yang didakwa mendekatinya mengenai kes mahkamah berhubung penggunaan kalimah “Allah”.
Muhyiddin mendakwa seorang menteri DAP mendekatinya untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah semasa beliau menjadi menteri dalam negeri PH sebelum ini, tetapi beliau tidak bersetuju kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu kes itu diteruskan.
Marzuki berkata, Muhyiddin tidak perlu mendedahkan nama bekas menteri DAP itu kerana langkah itu hanya akan mengundang tindakan undang-undang daripada DAP terhadap presiden Bersatu itu.
Isu penggunaan kalimah “Allah” kembali hangat minggu ini selepas dilaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak seorang wanita Sarawak menggunakan kalimah itu dalam pembelajaran agamanya.
Pada Isnin, Jabatan Peguam Negara berkata, ia telah memaklumkan Mahkamah Rayuan pada 18 April bahawa ia tidak mahu meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi, dalam satu keputusan penting, memutuskan bahawa warga Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pendidikan agamanya dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, Melanau.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Nor Bee Ariffin kemudiannya memutuskan bahawa arahan KDN pada 5 Dis 1986 melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam bercanggah dengan undang-undang.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri akan mengemukakan usul mengenai isu kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja.
Katanya, Jemaah Menteri telah mendapat lampu hijau daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan saranannya berkaitan arahan kerajaan mengenai penggunaan kalimah “Allah”, antara lainnya, oleh orang bukan Islam.
Pemimpin Bersatu mendakwa tindakan menarik balik rayuan itu serupa campur tangan dalam badan kehakiman.
Mereka berkata Putrajaya sepatutnya membenarkan proses undang-undang berjalan lancar, bukannya menarik balik rayuan itu, dan bertanya sama ada kerajaan telah berunding dengan raja-raja Melayu sebelum membuat keputusan tersebut.