
Beliau berkata, seramai 218,000 kanak-kanak belajar di dua pusat pengajian itu di seluruh negara melibatkan 10,800 tabika dan 550 taska.
Katanya, pihaknya memahami kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan dan kesihatan anak-anak terutamanya jika ada aktiviti di luar kelas.
“Mereka boleh tangguh anak-anak belajar. Kita juga sudah keluarkan surat arahan pentadbiran Bilangan 7 pada 27 April lalu berkenaan situasi musim panas kepada guru tabika dan taska seluruh negara,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, antara pendekatan diambil Kemas adalah tidak membenarkan aktiviti luar darjah jika suhu mencecah 35 hingga 37 darjah celsius.
Malah, guru juga diminta memastikan kawasan belajar mempunyai pengudaraan lebih seperti membuka tingkap serta lebih peka dengan keadaan murid dan menggalakkan mereka kerap meminum air kosong.
“Jika suhu mencecah 40 darjah celsius ke atas, kita akan pertimbangkan untuk menutup terus tabika dan taska sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini Kemas ada menerima beberapa laporan dari tabika dan taska di beberapa negeri berhubung situasi cuaca panas.
“Kita akan terus peka dengan situasi semasa namun setiap tindakan yang diambil ada prosedurnya, dengan kita kena maklum kepada pegawai daerah dan pengarah negeri jika perlu diambil sebarang tindakan,” katanya.