Pemasangan landasan pertama ECRL mula akhir tahun

Pemasangan landasan pertama ECRL mula akhir tahun

Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) MRL Khairi Khalid Abdul Rahman berkata ia melibatkan laluan dari Gebeng ke Dungun.

Jajaran ECRL sepanjang 665KM termasuk 59 terowong dengan anggaran kos RM50.27 bilion itu akan menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Pemasangan landasan pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan laluan dari Gebeng di sini menghala ke Dungun, Terengganu dijadualkan bermula akhir tahun ini.

Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Khairi Khalid Abdul Rahman berkata ia melibatkan laluan sepanjang 90km dengan jangkaan siap antara tiga ke empat bulan sebelum kerja pemasangan diteruskan dari Gebeng ke Maran.

“Kita menjangkakan pemasangan landasan sepanjang 1.5km sehari bagi laluan Gebeng ke Dungun. Kerja pemasangan ini bermula di Gebeng kerana material yang digunakan termasuk mesin pemasangan landasan adalah dari China dan selari dengan perancangan projek.

“Semua bahan ini akan tiba di Pelabuhan Kuantan antara Oktober atau November ini, menyebabkan pemasangan landasan bermula di Pahang,” katanya semasa ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang turut menyampaikan duit raya kepada 30 anak yatim daripada Permata Al Kauthar Muqarrabin.

Khairi Khalid berkata daripada keseluruhan 665km jajaran ECRL, 231km daripadanya terletak dalam Pahang melibatkan kira-kira 152km landasan searas, manakala yang bakinya adalah jambatan dan terowong.

Bagi kerja melibatkan jambatan, Khairi Khalid berkata kerja pemasangan rasuk jejambat sedang rancak dijalankan dengan kemajuan kerja setakat ini, sekitar 5km bagi laluan jambatan di Pahang.

“Terdapat dua buah mesin pemasangan rasuk yang dipanggil beam launcher (pelancar rasuk) iaitu di Kuantan bagi Sungai Kuantan dan di Temerloh bagi kerja di Sungai Pahang dengan kita menjangkakan jambatan boleh disiapkan hujung tahun ini atau awal 2024,” katanya.

Bagi kerja penembusan Terowong Berkembar Genting yang akan menjadi terowong rel terpanjang di Asia Tenggara apabila siap kelak, Khairi Khalid berkata setakat ini kerja pengorekan terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa itu telah mencapai lebih 2.5km bagi setiap satu terowong.

Kerja pengorekan terowong itu yang menggunakan mesin tunnel boring machine (TBM) atau mesin pengorek terowong, berbanding kaedah gerudi dan letup seperti terowong lain, bermula Jun lepas dan dijangka siap pada suku kedua 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.