PAS bukan rumah tumpangan politik, kata Hadi

PAS bukan rumah tumpangan politik, kata Hadi

PAS sanggup bekerjasama dengan semua pihak dan tidak teragak-agak membatalkannya jika melanggar prinsip parti, kata Presiden Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi Awang berkata PAS bersikap terbuka dan bersempadan menghadapi sebarang perubahan dari sudut pemikiran dan sikap manusia yang berubah-ubah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS sanggup bekerjasama dengan semua pihak dan tidak teragak-agak membatalkannya apabila ia melanggar prinsip dan strategi parti itu, kata Presiden Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata, PAS juga bersikap terbuka dan bersempadan menghadapi sebarang perubahan dari sudut pemikiran dan sikap manusia yang berubah-ubah.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, bagaimanapun PAS bukan rumah tumpangan politik sementara waktu yang boleh dipergunakan pihak lain untuk melakukan jual-beli politik.

“PAS tidak boleh dijadikan rumah tumpangan politik sementara waktu atau laksana bola yang boleh ditendang oleh pihak lain dengan mudah atau untuk berniaga politik dengan janji pangkat, harta dan takhta,” katanya di Facebook.

Penegasan itu dipercayai susulan tindakan PAS menyokong Proklamasi Orang Melayu diterajui Dr Mahathir Mohamad ketika ini, walaupun dua pemimpin berkenaan sering berbeza pendapat sebelum ini.

“PAS mengadakan kerjasama dengan pihak lain atas titik persamaan kemanusiaan dan keadilan kepada semua tanpa melanggar sempadan prinsip Islam dan konsep yang menjadi kewajipan PAS.

“PAS lebih mengutamakan sikap berkebajikan terhadap semua pihak, termasuk terhadap mereka yang pernah bermusuh atau sedang bermusuh atau paling bermusuh,” katanya.

PAS sebelum ini bekerjasama dengan PKR dan DAP atas tiket Pakatan Rakyat, namun gabungan itu terbubar pada 2015 selepas DAP dan PAS tidak lagi sehaluan.

Selepas kalah pada PRU 2018, PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional pada akhir 2019 namun kerjasama atas platform penyatuan ummah itu juga gagal apabila PAS menyertai Bersatu membentuk Perikatan Nasional pada 2020, selepas lima bulan di Putrajaya.

Hadi berkata, apabila ada pihak melanggar dasar PAS atau memaksa PAS keluar daripada landasan Islam atau melanggar konsep yang wajib seperti kewajipan menegakkan negara Islam atau konsep amar makruf dan nahi munkar atau ancaman terhadap Islam dan penganutnya oleh pihak lain, maka PAS tidak teragak-agak membatalkan kerjasama atau keluar daripada pakatan politik tersebut.

“Sikap PAS pula tidak jumud tanpa perubahan apabila berlakunya perubahan sikap dan keadaannya, dan ada parti yang berulang kali berhubung dan memutuskan hubungan dengan PAS,” katanya dipercayai merujuk kepada Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.