
Pensyarah kejuruteraan pengangkutan Universiti Sains Malaysia, Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, walaupun Pautan Sistem Transit Pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura sejauh 4km mungkin mengurangkan kesesakan pengangkutan rentas sempadan, rangkaian pengangkutan awam yang kukuh diperlukan di Johor.
Beliau berkata, ini penting kerana akan melengkapi rangkaian pengangkutan rentas sempadan dan menjadikan perjalanan harian lebih lancar.
“Kita perlu membina rangkaian tempatan (di Johor), sama ada melalui sistem rel berhierarki lebih rendah seperti monorel, bas transit pantas, atau sebarang bentuk perkhidmatan bas untuk menghubungkan orang ramai dan menyediakan sambungan batu pertama dan terakhir,” katanya kepada FMT.
“RTS adalah permulaan yang baik, tetapi saya rasa kita perlu buat lebih daripada itu kerana kawasan yang diliputi (RTS) agak kecil, jadi ia tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada majoriti penduduk yang perlu berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura.”
Bulan lepas, Singapura menggandakan kadar cukai hartanah yang dijual kepada warga asing kepada 60%, walaupun kadar sewa di republik itu melonjak.
Bagaimanapun, beberapa pakar hartanah memberitahu FMT Business, jangkaan lonjakan permintaan hartanah di Johor, terutamanya dalam segmen mewah, masih belum menjadi kenyataan.
Farhan berkata, orang ramai, termasuk warga asing, lebih suka membeli hartanah berhampiran hab atau pusat pengangkutan.
“Sebagai contoh, di Lembah Klang, pemaju mengiklankan fakta bahawa sesuatu hartanah berada berdekatan dengan stesen LRT dan MRT (sebagai kelebihan); jadi akses kepada pengangkutan menjadi nilai tambah,” katanya.
Pengangkutan rentas sempadan masih penting
Perunding pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata, pengangkutan rentas sempadan masih perlu disediakan sebagai insentif bagi orang ramai untuk menetap di Johor sementara bekerja di Singapura.
Memandangkan Pautan RTS hanya akan beroperasi pada 2026, Wan Agyl berkata, perkhidmatan bas ulang-alik boleh dilaksanakan sementra itu untuk memenuhi keperluan mereka yang berulang-alik dari Singapura ke Johor Bahru.
“Mungkin kita juga perlu meneroka keperluan lorong keutamaan untuk perkhidmatan bas ulang-alik sebegitu supaya ia tidak terperangkap dalam kesesakan, terutamanya di sempadan,” katanya.