Kebakaran tercetus di Mid Valley

Kebakaran tercetus di Mid Valley

Menurut jurucakap bomba KL, kebakaran bermula di bilik pencawang TNB di dalam pusat beli-belah itu.

Kebakaran di Mid Valley Megamall pagi ini bermula di sebuah bilik pencawang TNB di dalam pusat beli-belah itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah kebakaran tercetus di pusat beli-belah Mid Valley Megamall pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kebakaran bermula di sebuah bilik pencawang TNB di dalam pusat beli-belah itu.

Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC), yang memuat naik gambar kebakaran itu di Twitter, memaklumkan bahawa dua jalan telah ditutup. Polis berada di tempat kejadian untuk mengarahkan lalu lintas.

Dalam pada itu, Golden Screen Cinemas (GSC) memaklumkan bahawa walaupun pawagamnya di pusat beli-belah itu tidak terlibat dalam kebakaran, semua tayangan filem dibatalkan.

Katanya, pawagam juga akan ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

“Jika anda membeli tiket dalam talian, anda akan mendapat bayaran balik secara automatik dalam tempoh 14 hari bekerja,” maklumnya di media sosial.

Mereka yang membeli tiket dari kiosk dinasihatkan untuk menyimpan tiket dan mendapatkan bayaran balik sebaik sahaja pawagam dibuka semula, kata GSC.

Sementara itu, TNB berkata pihaknya sedang mengenal pasti punca kejadian dan bekalan giat dipulihkan.

Katanya, kejadian berlaku di pencawang masuk utama (PMU) pusat beli-belah itu pada 10:27 pagi.

“Kebakaran menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.

“TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terlibat mendapat bekalan seawal 10.55 pagi. TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.