
Beliau berkata keputusan kerajaan menarik balik rayuan itu melanggar titah Sultan Johor dan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam negeri-negeri yang menjadi asas rayuan semula ke atas keputusan Mahkamah Tinggi, selain boleh dianggap campur tangan kerajaan dalam proses sistem kehakiman negara.
“KDN juga telah membelakangkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2008 yang memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.
“Menteri KDN tidak mempunyai hak membuat keputusan menarik balik rayuan tanpa merujuk kepada raja-raja, Majlis Agama Islam Negeri dan jawatankuasa Muzakarah Malaysia yang mempunyai autoriti dalam menentukan perkembangan agama Islam di Malaysia.”
Kelmarin, KDN dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan 18 April lepas, menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Jill Ireland, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata keputusan kes penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran hanya khusus untuk Sarawak.
Razali berkata kenyataan bercanggah itu merupakan tindakan terdesak kerajaan Anwar untuk terus mengekalkan sokongan Sabah dan Sarawak kepada Putrajaya.
“Dengan keputusan politik tersebut, saya berpendapat PM juga menjangka peroleh sokongan maksimum pengundi bukan Melayu Islam kepada Pakatan Harapan dalam PRN di enam negeri tidak lama lagi terutama Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan supaya kekal memerintah,” katanya.
Justeru, beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar perlu menyatakan pendiriannya secara tegas dan jelas bagi mempertahankan titah Majlis Raja-raja.