
Asri Hamid, 45, berkata selepas pendedahannya tiga tahun lalu, polis menyerbu ratusan premis judi, tetapi tiada satu pun tuduhan dibawa terhadap dalangnya.
“Kita lihat bekalan elektrik premis terbabit dipotong sebelum ditutup sementara, tetapi ‘tauke’ belum ditahan atau didakwa,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas amaran Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay kepada ketua polis daerah bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka gagal bertindak terhadap aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.
Isnin lalu, Ayob mendedahkan ada ketua polis tidak senang apabila pasukan petugas dari Bukit Aman dikerah melaksanakan operasi terhadap premis perjudian di daerah mereka.
Asri menggesa Ayob memperjelaskan jenis tindakan yang akan diambil terhadap ketua polis daerah tidak melaksanakan tugas mereka.
Sambil memuji pendirian tegas Ayob, Asri berkata, rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap bekas ketua polis Johor itu dan tiba masanya beliau menunjukkan dirinya sebagai “jeneral perang”.
Pada masa sama, Asri mencadangkan polis mewujudkan aplikasi mudah alih khas untuk membolehkan orang awam melaporkan aktiviti perjudian tanpa lesen.
Pada 2020, Asri mendedahkan beberapa premis perjudian tanpa lesen di Sungai Buloh menerusi beberapa siri video. Susulan itu, Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Hamid Bador menjemputnya untuk pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan.
Katanya, keputusan mendedahkan premis perjudian itu selepas pihak berkuasa tempatan merampas gerai burger diusahakannya, tetapi tidak bertindak terhadap aktiviti haram di kawasan berkenaan.