
Ketua Pemudanya, Imran Tamrin turut menjangkakan kesukaran di peringkat jentera, sekiranya BN memilih logo gabungan lain.
“Di peringkat kerjasama yang baharu saja dijalinkan pada November 2022, penyokong dan kepimpinan di peringkat akar umbi belum bersedia menerima logo parti lain selain BN dan saya merasakan perkara sama turut dirasai PH.
“Tetapi pada saya, logo dan lambang apa yang digunakan sekalipun, semangat berpasukan itu perlu kita bina sekarang, elakkan bertembung satu sama lain dan BN perlu bantu PH, PH perlu bantu BN,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Elizabeth Wong bahawa PH dijangka menggunakan logo sendiri pada PRN, namun beliau secara peribadi tiada masalah jika BN ingin menggunakan logo PH di Selangor.
Sebelum ini juga, Presiden Umno, Zahid Hamidi mengesahkan pihaknya belum memuktamadkan penggunaan logo dacing oleh parti sekutu dalam kerajaan perpaduan.
Beliau turut mencadangkan satu logo diwujudkan bagi kegunaan PRN yang menggabungkan parti berkenaan.
“Itu lebih baik dan sudah ada cadangan tersebut dikeluarkan di peringkat akar umbi untuk kita gunakan satu logo yang menggabungkan parti-parti yang ada,” katanya.