PM arah tiada ‘kerenah birokrasi’ baiki sekolah daif

PM arah tiada ‘kerenah birokrasi’ baiki sekolah daif

Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga mahu menaikkan elaun guru tetapi memerlukan sedikit masa untuk berbuat demikian.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu melihat sebarang kerenah pentadbiran dalam usaha baiki sekolah daif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan untuk memastikan tidak ada “kerenah birokrasi” yang akan mempengaruhi usaha membaiki sekolah daif.

Anwar berkata, beliau mengarahkan kedua-dua kementerian tersebut untuk mempercepatkan kerja pembinaan semula di sekolah terjejas, dan tidak mahu sebarang kerenah pentadbiran menghalang usaha kerajaan.

Beliau yang juga menteri kewangan, turut mempersoalkan kenapa ada beberapa pelajar masih belajar tanpa kemudahan asas seperti tandas ketika negara mengalami pertumbuhan ekonomi mengagumkan.

“Kita dahulu merekodkan pencapaian yang mengagumkan (dalam ekonomi). Tetapi jika sebuah sekolah mempunyai lapan tandas, (ada kemungkinan) empat daripadanya rosak.

“Adakah kita mahu mengajar anak-anak kita tanpa kemudahan asas?” katanya semasa pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Melaka.

Pada Februari, Anwar mengumumkan kerajaan akan memberi keutamaan untuk membaiki sekolah-sekolah yang daif di seluruh negara.

Pada awal tahun ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan bahawa lebih daripada 300 sekolah daif memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan segera.

Kementeriannya mengenal pasti 289 sekolah daif di Sabah sahaja, di mana 64 daripadanya dianggap tidak selamat oleh Jabatan Kerja raya.

Anwar juga mengumumkan hasrat kerajaan menaikkan elaun guru, susulan pertumbuhan ekonomi negara “mengagumkan” dalam suku pertama tahun 2023 dan penjimatan dibuat Putrajaya dengan mengkaji semula beberapa projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

“Ini bermakna pendapatan yang diperoleh oleh kerajaan (dalam suku pertama tahun ini) akan dikembalikan kepada rakyat. Tetapi jangan minta (kenaikan elaun guru) sekarang, berikan kami sedikit masa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.