Paras air dijangka turun, pembenihan awan di 7 kawasan empangan

Paras air dijangka turun, pembenihan awan di 7 kawasan empangan

Tujuh kawasan itu adalah Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau.

Zahid Hamidi berkata, pembenihan awan akan dilakukan segera dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Meteorologi di tujuh kawasan empangan itu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pembenihan awan akan dilakukan di tujuh kawasan empangan dijangka mengalami paras air menurun berikutan gelombang haba akibat fenomena El-Nino, kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tujuh kawasan itu adalah Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau di Sarawak.

“Petang ini, saya akan terus ke Sungai Muda dan Sungai Kedah untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera, iaitu dari segi pembenihan awan.

“Soal pembenihan awan dilakukan segera (dengan) kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) di beberapa kawasan empangan air,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Perdana Putra.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi lapan daerah di Semenanjung Malaysia, iaitu Pekan, Bera dan Rompin di Pahang; Segamat dan Muar di Johor; Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan serta Padang Terap di Kedah.

Menurut kemas kini cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia, lapan daerah itu mencatatkan amaran tahap kuning setakat 4.45 petang semalam.

Zahid berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut diarah bersiap siaga dengan pengagihan air untuk kegunaan domestik.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 406 lokasi utama dijangka berlaku kebakaran terbuka ketika cuaca panas kerana kawasan itu bertanah gambut.

“Sebanyak 616 operasi pemantauan 24 jam dijalankan di kawasan yang selalu berlaku kebakaran, terutama kategori kawasan kebun dan ladang, hutan, belukar berlalang serta kawasan sampah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.