
Santiago berkata, beliau menerima banyak panggilan telefon mengenai gangguan itu, bukan hanya dari pemilik kediaman, tetapi juga dari perniagaan yang mendakwa mereka mengalami kerugian “berjuta-juta ringgit”.
Gangguan bekalan air itu memberi kesan kepada lebih daripada 400,000 pengguna di Pulau Pinang dan lebih 200,000 di Kedah, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, awal hari ini.
Beliau juga menggesa SPAN untuk mengambil tindakan. “Kami mahu siasatan dijalankan,” katanya kepada wartawan semasa melawat loji rawatan air Lahar Tiang.
Santiago memberitahu FMT: “Ya, kami pasti menyiasat perkara ini. Saya akan pergi ke sana pada pagi Khamis, melawat ke Kedah dan kemudian ke Pulau Pinang, untuk melihat sendiri apa yang terjadi.”
Semalam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) memaklumkan loji rawatan utama di Sungai Dua tidak dapat menyedut air dari Sungai Muda apabila paras air sungai turun separuh kepada 1m berbanding 2m dalam keadaan biasa.
Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor, kemudian berkata kegagalan sensor automatik di baraj Sungai Muda menyebabkan air mengalir ke laut. Sungai itu merupakan sumber utama air mentah untuk Pulau Pinang.
Santiago berkata siasatan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran sedang berjalan, kerana semua sungai berada di bawah bidang kuasanya. “Kami akan berbincang dengan mereka mengenai perkara ini,” katanya.
Tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat kecuaian atau masalah penyelenggaraan, tetapi beliau menambah “masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kerana kami tidak tahu apa situasinya.”