
Beliau berkata ketinggian pintu baraj yang rendah menyebabkan pembaziran air mentah.
“Kita telah capai (ketinggian) 2m, (tetapi) pintu mereka kurang dari 1.55m, ada air yang akan keluar,” katanya ketika lawatan ke Langkawi.
“Dan pintu baraj mereka sudah berusia 50 tahun dan tidak diselenggara,” katanya.
Penurunan mendadak paras Sungai Muda pada Sabtu mengganggu operasi loji rawatan air, menyebabkan kekurangan bekalan air yang menjejaskan lebih daripada 400,000 pengguna di Pulau Pinang dan lebih daripada 200,000 di Kedah.
Semalam Sanusi berkata, kegagalan sensor automatik di baraj Sungai Muda menyebabkan air mengalir ke laut menyebabkan paras sungai turun di bawah 1m. Sungai itu merupakan sumber utama air mentah untuk Pulau Pinang.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata, loji rawatan air utama di Sungai Muda tidak dapat menyedut air sungai kerana paras air sungai yang rendah. Dua loji rawatan air di Kedah juga terjejas tetapi menyambung operasi semula operasi dengan kapasiti 40%.
Syarikat Air Darul Aman (Sada) berkata, sebuah pam pelbagai peringkat dipasang untuk menyedut air sungai ke dalam loji rawatan, membolehkan loji itu meningkatkan kapasiti rawatan tanpa perlu menunggu paras sungai kembali kepada paras normal.
Loji rawatan di Sungai Petani dan Pinang Tunggal terpaksa menghentikan operasi secara sementara selepas paras sungai menurun pada Sabtu. Sada berkata bahawa mereka sedang aktif menstabilkan operasi di kedua-dua loji tersebut.