
PIC berkata, projek tebus guna tanah itu tidak akan menghalang nelayan daripada memancing atau mengancam keselamatan makanan kerana zon tangkapan ikan di selatan Pulau Pinang adalah luas, iaitu sehingga lapan batu nautika (14.8km) dari pantai.
“Biasanya nelayan tempatan menangkap ikan di lokasi terletak di luar kawasan projek.
“Kami menerima maklumat ini daripada nelayan tempatan dan mengesahkan dengan melakukan kiraan bot secara fizikal dan dengan menggunakan imej satelit yang mengesan pergerakan bot memancing di kawasan perairan Pulau Pinang selatan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, FMT melaporkan beberapa nelayan menolak dakwaan bahawa kawasan tebus guna tanah untuk projek mega itu tidak mempunyai ikan dan udang.
Nelayan ditemubual FMT berkata, terdapat banyak ikan dan udang di perairan Bayan Lepas, sehingga orang dari jauh datang seperti Kedah dan Perak untuk memancing di kawasan itu.
PIC juga menolak dakwaan projek PSI akan memberi kesan kepada perairan dan pantai selatan Kedah, utara Perak, dan Selangor dengan mengatakan ia “tidak berasas dan tidak mempunyai asas sains”.
Menurut PIC, langkah mitigasi akan membataskan kesan kepada tapak projek berdasarkan penilaian terkandung dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan.
Berdasarkan laporan EIA, PIC berkata tebus guna tanah akan dilakukan secara berperingkat, yang bermaksud kesan itu hanya akan berlaku secara beransur-ansur dan akan dikawal di tapak kerja melalui pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa dan pelaksanaan langkah mitigasi dengan teliti.
PIC juga berkata, konsesi yang dicadangkan terletak lebih 30km dari pantai Perak, yang merupakan dua kali ganda jarak dari lapan batu nautika zon perikanan rakyat yang ditetapkan.
Ia turut menentang kritikan terhadap PSI berkaitan karbon yang akan dilepaskan, dengan merujuk ramalan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 2019 bahawa projek itu akan melepaskan 3.2 juta tan karbon setiap tahun.
“Tetapi mereka tidak menyebut cadangan MPFN agar PSI mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40%,” kata PIC.
PIC berkata, tindak balas Pulau Pinang terhadap nasihat MPFN adalah dengan mengambil kira perancangan bandar rendah karbon (LCCF) untuk memastikan pembangunan PSI mematuhi prinsip rendah karbon.