Lantik anak tempatan jadi pengerusi Perbadanan Labuan, desak pemimpin parti kerajaan

Lantik anak tempatan jadi pengerusi Perbadanan Labuan, desak pemimpin parti kerajaan

Umno, PKR, Warisan Labuan mahu Putrajaya melantik mana-mana pemimpin tempatan menerajui Labuan.

Pelantikan orang luar terajui Labuan akan memberi persepsi kurang baik kepada kerajaan perpaduan, kata pemimpin parti kerajaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin parti kerajaan senada mendesak Putrajaya melantik pengerusi Perbadanan Labuan dalam kalangan anak jati wilayah itu.

Naib Ketua Umno Labuan, Khalid Abd Ghani berkata ketiga-tiga parti yang menyokong kerajaan – Umno, PKR dan Warisan – sepakat tidak mahu kesilapan lama dengan melantik pemimpin dari Sabah, Anifah Aman sebagai Senator mewakili Labuan berulang, yang mencetuskan kemarahan rakyat wilayah itu.

Beliau berkata Putrajaya boleh memilih mana-mana pemimpin daripada gabungan parti kerajaan perpaduan yang ada di Labuan untuk mengisi jawatan penting itu.

“Kami mahu perdana menteri (Anwar Ibrahim) menghormati kemahuan rakyat Labuan.

“Kami tidak rela kewibawaan dan kebolehan anak tempatan direndahkan martabatnya untuk menerajui Labuan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan bersama, Timbalan Ketua PKR Labuan, Adnan Khatim berkata Labuan tidak ketandusan pemimpin berkebolehan untuk diangkat sebagai pengerusi Perbadanan Labuan.

“Tidak perlu memilih orang luar dari Labuan yang belum tahu dapat menjiwai kehendak rakyat Labuan,” tegasnya.

Manakala pemimpin utama Warisan Labuan, Nor Halim Zaini, pula berkata pelantikan orang luar menerajui Labuan akan memberi persepsi kurang baik kepada kerajaan perpaduan.

“Ia sudah pasti satu penghinaan kepada rakyat Labuan,” katanya sambil menambah hanya pemimpin tempatan lebih mengetahui dan memahami masalah dan arah tuju Labuan.

Sebelum ini, semua pelantikan pengerusi Perbadanan Labuan diwakili oleh anak tempatan berstatus bekas Ahli Parlimen bermula Suhaili Abdul Rahman, Rozman Isli, Yusof Mahal dan bekas Ahli Dewan Negara, Bashir Alias.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.