
Sekiranya dirancang dengan betul, dasar jalur lebar menjadi pelaburan yang bijak. Tersalah langkah, ia menyebabkan harga data dan peranti pintar di luar capaian pengguna kebanyakan, sekali gus membataskan liputan dan menyebabkan sebahagian besar masyarakat “offline”.
Menyedari betapa perlunya internet laju, stabil, dan murah, Kementerian Komunikasi dan Digital bawah pimpinan Menteri Fahmi Fadzil memulakan langkah dengan inisiatif Pakej Internet Perpaduan – tawaran mampu milik yang menyasarkan golongan belia dan B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA).
Ia sebahagian pelan strategik KKD membangunkan ekonomi digital, berdasarkan prinsip Malaysia Madani ke arah mencipta “dekad keemasan digital negara”.
Ketika ini, ia menyediakan tiga pakej iaitu Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih (Prepaid), Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet), dan Pakej Perpaduan Program Perumahan Rakyat (PPR)/Perumahan Awam (PA) @MyKabel.
“Langkah menambah baik capaian internet boleh disifatkan sebagai strategi serampang dua mata iaitu mencipta lonjakan untuk memaksimumkan potensi ekonomi digital negara serta merapatkan jurang sosio ekonomi penduduk di bandar dan luar bandar,” kata Fahmi.

Setiap satu pakej ternyata mampu milik dengan harga serendah RM5 sehingga RM69 sebulan, lebih murah daripada kadar sedia ada.
Misalnya pakej Prepaid menawarkan 30GB data dengan kelajuan 3 Mbps pada harga RM30 dalam tempoh enam bulan. Pakej ini disediakan oleh CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM), YTL Communications, XOX Telecommunication, XOX Com Sdn Bhd, Tune Talk serta Pavo Communications khusus bagi golongan belia, B40, OKU, warga emas, veteran ATM, pesara PDRM dan APMM.
Seterusnya, pakej Home Internet 22% lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi sama, dengan kontrak langganan selama 24 bulan. Pakej ini disediakan oleh CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM) serta YTL Communications khusus bagi golongan B40, OKU, warga emas, dan veteran ATM, pesara PDRM dan APMM. Dengan kelajuan sehingga 30 Mbps dan data tanpa had pada harga RM69 sebulan, rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak.
Dan yang terkini adalah pakej @MyKabel dengan tawaran 30% lebih murah berbanding harga pakej semasa dan kontrak langganan selama 24 bulan. Pakej ini disediakan oleh pihak Time dotcom khusus untuk penduduk di bangunan PPR/PA di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dengan kelajuan 100 Mbps.

Fahmi menghargai kerjasama strategik antara kementerian dan penyedia perkhidmatan dalam memperkenalkan pakej internet mampu milik.
“Ini selaras hasrat kerajaan perpaduan untuk mengurangkan kos sara hidup dan pada masa sama memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh,” katanya.