
“Hasil pemeriksaan pada 10 Mei mendapati ‘damper’ pada sistem kawalan pelepasan udara (SKPU) bagi tujuan kawalan wasap masih lagi dalam penambahbaikan dan dijangka siap selewat-lewatnya sebelum 31 Mei.
“Penambahbaikan nozel pada SKPU juga telah ditukar sepenuhnya dan ‘water sprinkler’ dalam proses pemasangan bagi mengurangkan masalah habuk fugitive,” katanya dalam satu kenyataan.
JAS berkata, ujian kandungan kelembapan bahan mentah turut dijalankan oleh premis bagi memastikan penggunaan bahan mentah kering terutama bagi jenis habuk kuari.
Dalam pada itu, JAS berkata, percontohan cerobong dijalankan pada 13 April lalu dan dalam proses penyediaan laporan oleh pihak perunding.
“JAS akan turut menjalankan pemeriksaan pada waktu malam berdasarkan aktiviti pencampuran asfalt yang berpotensi melepaskan pencemaran asap atau bau yang kebiasaannya dijalankan pada waktu malam.
“JAS komited menjalankan penguatkuasaan dan membuat pemantauan ke atas premis dari semasa ke semasa dalam memastikan operasi premis mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Isnin lalu, aktivis Lam Choong Wah meluahkan masalah dihadapi penduduk sebuah kawasan kejiranan di Rawang yang mengadu terpaksa menahan bau busuk bertahun-tahun, akibat pencemaran udara dari sebuah loji asfalt berhampiran, yang kelihatan tidak berpenghujung.
Menurut Lam, kilang itu terletak berhampiran kawasan perumahan seperti Taman Setia dan Taman Setia Jaya, serta Reef Commercial Centre. Dianggarkan seramai 5,000 orang terjejas akibat isu ini.
Perkara itu turut dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Selayang William Leong. Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemeriksaan JAS pada April 2022 mendapati terdapat kebocoran pada sistem kawalan pencemaran udara di kilang itu, yang menurutnya sudah ditangani.