Kerajaan lulus peruntukan RM23.1 juta untuk PBT di Johor

Kerajaan lulus peruntukan RM23.1 juta untuk PBT di Johor

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata ia antaranya bagi membaik pulih dan menaiktaraf kemudahan di negeri terbabit.

Nga Kor Ming mendengar penerangan daripada Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Ir Nazatulshima Mohamad (kanan) mengenai projek menaik taraf dan baik pulih infrastruktur Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Biru, hari ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM23.1 juta kepada 16 pihak berkuasa tempatan di negeri ini, antaranya bagi membaik pulih, menaik taraf kemudahan dan infrastruktur awam di Johor.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berkata peruntukan sebanyak RM1.3 juta kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur awam di Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Air Biru.

Beliau berkata sebanyak RM8.5 juta kepada kerajaan negeri melibatkan penyelenggaraan 28 kolam takungan, yang diharap dapat mengawal luruan air hujan sekali gus menebat kejadian banjir kilat.

Selain itu, sebanyak RM13.3 juta pula untuk 16 PBT di negeri itu bagi melaksanakan 35 projek kemudahan awam, katanya.

“Peruntukan itu bagi menaik taraf medan selera, pasar awam dan taman rekreasi ini merupakan peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan tiada ketirisan, keborosan dan pembaziran berlaku.

“Semua projek yang diumumkan melibatkan peruntukan RM23.1 juta ini akan bermula pada masa terdekat dan wajib siap dalam tahun ini..,” kata beliau selepas mendengar taklimat mengenai projek menaik taraf medan selera Anjung Selera Laman Tasik Pandan, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar MBJB Mohd Noorazam Osman.

Nga menambah KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan sentiasa bekerjasama dengan PBT di seluruh Malaysia bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat.

Berhubung cadangan kerajaan negeri supaya menawarkan tanah bagi digunakan untuk pembinaan projek perumahan rakyat, beliau berkata kerajaan Negeri Sembilan dan Johor telah tampil untuk menawarkan tanah yang sesuai.

“Mana-mana kerajaan negeri yang sudi menawarkan tanah secara percuma atau kenakan premium yang minimum, KPKT akan beri keutamaan dalam pembinaan PPR.

“Berdasarkan pengalaman dahulu, kalau kerajaan negeri tidak tawarkan tanah percuma, kerajaan Persekutuan terpaksa beli tanah yang sebanyak 30 peratus daripada peruntukan terpaksa digunakan beli tanah dan lokasi tidak berkualiti kerana tidak ada duit,” katanya.

Justeru, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) di semua negeri diharap membuat kajian dan mengenal pasti mana-mana tapak yang sesuai untuk dibina PPR, kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.