BN, PH guna logo sendiri di Kedah, kata Mahdzir

BN, PH guna logo sendiri di Kedah, kata Mahdzir

Keputusan menggunakan logo sendiri pada PRN akan datang adalah pendirian semasa BN dan PH.

Mahdzir Khalid berkata pimpinan pusat BN dan PH akan memutuskan pemimpin yang akan diketengahkan sebagai ‘poster boy’ pada PRN di Kedah.
KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan menggunakan logo masing-masing pada PRN akan datang, kata Mahdzir Khalid.

Ketua Umno Kedah berkata, ia adalah pendirian semasa kedua-duanya dan pimpinan tinggi di peringkat pusat belum memberi sebarang makluman.

“Soal logo (pusat) tak beri makluman, setakat ini PH guna lambang PH dan BN guna lambang BN,” katanya selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pada 10 Mei lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mendedahkan ada rakan sekutunya berhasrat menggunakan lambang BN di negeri tertentu untuk mendapatkan sedikit kelebihan ketika PRN.

Berhubung pemimpin yang akan diketengahkan sebagai “poster boy” oleh gabungan BN dan PH Kedah, Mahdzir berkata perkara itu belum diputuskan pimpinan pusat.

“Poster boy akan ada, cuma ia akan diputuskan pusat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengulangi gesaannya supaya kerajaan Kedah memikirkan penyelesaian jangka panjang masalah air negeri itu yang kerap berlaku, terbaru di Kuala Kedah yang membabitkan lebih 250,000 akaun atau hampir sejuta pengguna.

“Kalau satu rumah ada tiga, empat orang sudah sejuta orang langsung tiada bekalan air…ia sangat sedih dan menyusahkan.

“Sepatutnya dalam musim seumpama ini ada langkah (atasi masalah), bukan penyelesaian jangka pendek,” kata bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.