Penggubal undang-undang mahu inkues Anna Jenkins dijalankan di Australia

Penggubal undang-undang mahu inkues Anna Jenkins dijalankan di Australia

Inkues dijalankan di Pulau Pinang, yang berakhir semalam, hanya ‘sandiwara’, kata Frank Pangallo.

Koroner di Pulau Pinang mengisytiharkan keputusan terbuka hasil inkues terhadap kehilangan dan kematian Anna Jenkins, yang cebisan rangkanya ditemukan pada 2020.
GEORGE TOWN:
Seorang ahli Majlis Perundangan Parlimen Australia Selatan menggesa inkues dijalankan di Australia berhubung kehilangan dan kematian Anna Jenkins, seorang penduduk Adelaide kelahiran Malaysia, di Pulau Pinang pada 2017.

Frank Pangallo berkata, koroner di Australia Selatan boleh menjalankan inkues berhubung kematian mana-mana warga Australia Selatan “di seluruh dunia”, dan “koroner kami sebenarnya sedang menunggu untuk melihat apa yang berlaku di Pulau Pinang”.

Inkues berhubung kehilangan Jenkins berakhir di Pulau Pinang semalam, dengan koroner mengisytiharkan keputusan terbuka disebabkan kekurangan keterangan mengenai kematian wanita berusia 65 tahun itu.

Jenkins kali terakhir dilihat keluar daripada kenderaan Uber di Jalan Scotland. Tiga tahun kemudian, cebisan rangka dan barangan peribadinya ditemukan di sebuah tapak pembinaan berdekatan tempat dia kali terakhir dilihat.

Pangallo berkata, beliau akan menggesa koroner Australia Selatan “mempertimbangkan dengan serius” tindakan menjalankan inkues baharu.

“Mereka akan dapat menentukan punca kematian berdasarkan keterangan yang telah dikumpul oleh anaknya dan yang dikemukakan kepada koroner Malaysia, tetapi tidak diambil kira,” katanya kepada FMT.

Pangallo berkata, langkah seterusnya adalah meminta pihak berkuasa Malaysia menyerahkan keterangan dan dokumen berkaitan kepada koroner Australia Selatan.

Katanya, beliau juga akan mencadangkan agar Parlimen Australia Selatan membayar balik kepada keluarga Jenkins lebih AUD300,000 yang dibelanjakan dalam usaha menyiasat sendiri kes itu di Pulau Pinang, serta kos untuk menghadiri inkues selama enam tahun.

“Jangan lupa, anak Anna, Greg menyiasat keseluruhan kes itu. Itu (hasil) kerja kerasnya,” katanya.

Beliau juga akan meminta sumbangan kerajaan Australia Selatan untuk menanggung kos sebarang rayuan atau semakan kehakiman terhadap penemuan koroner Pulau Pinang.

Beliau turut akan menggesa Parlimen Australia Selatan meminta Menteri Luar Australia Penny Wong campur tangan.

“Keseluruhan inkues (di Pulau Pinang) itu sekadar sandiwara. Dan saya rasa ia hanya dijalankan untuk cuba meredakan tekanan dari Australia, dan daripada aktivis hak asasi manusia di (Malaysia) dan dari luar,” kata Pangallo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.