
Lima puluh empat tahun mungkin telah berlalu sejak tragedi rusuhan kaum itu berlaku pada 1969, tetapi kejadian 13 Mei itu kekal sebagai tanda penting dalam kisah kepelbagaian budaya dan keharmonian negara, katanya.
Kua bimbang, jika tidak ditangani dengan betul, warisannya akan terus menghantui negara.
Hal ini kerana, katanya, kejadian itu jarang dibincangkan di ruang awam dan tidak diajar dengan betul kepada generasi muda.

Perkara ini mesti diubah agar negara dapat pulih dengan baik, kata Kua kepada FMT.
“13 Mei ialah subjek yang tidak ditangani dengan betul di sekolah,” kata Kua, sambil menyatakan bahawa sejarah tragedi itu malah tidak dipelajari anak-anaknya sendiri di sekolah.
Pengarang buku “May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969” itu berkata, minatnya terhadap kejadian itu datang daripada cintanya terhadap sejarah secara umum.
Beliau percaya, kejadian itu menandakan “titik penting” dalam sejarah negara.
Ketika rusuhan 13 Mei tercetus di Kuala Lumpur, Kua baru berusia 18 tahun dan tinggal di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor,
“Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum, kejadian sebegitu akan sentiasa berada dalam ingatan anda,” katanya.
Kua yakin bahawa pengalaman sebenar dialami rakyat Malaysia pada era itu akan mendedahkan butiran yang tidak terkandung dalam kisah rasmi kejadian itu.
“Buku saya adalah yang pertama mencabar naratif yang sudah diterima,” kata Kua.
Beliau menyeru kerajaan semasa agar menunjukkan iltizam politik yang lebih kuat dengan mendedahkan catatan sejarah yang tepat mengenai tragedi itu.
Tiada lagi justifikasi untuk menyembunyikan kebenaran, katanya.
“(Kejadian) itu berlaku. Bolehkah anda sekat memori tentang kejadian yang berlaku?
“Perang Dunia Kedua dan Darurat ialah topik-topik sensitif, tetapi ia berlaku.
Beliau menyebut pertabalan Raja Charles III baru-baru ini, yang menyaksikan ahli sejarah membincangkan bagaimana keluarga diraja British mendapat manfaat daripada perdagangan hamba Atlantik.
“Adakah ini memburukkan imej golongan diraja? Sudah tentu, tetapi itulah yang berlaku. Itulah sejarah. Anda tidak boleh menyembunyikannya,” kata Kua.
Beliau turut menyeru kerajaan agar mengiktiraf dan menghormati mangsa yang maut dalam tragedi itu, dengan memberikan Jerman sebagai contoh.
“(Jerman) merakam nama setiap mangsa Holocaust di jalanannya. Malaysia malah tidak mengakui fakta-fakta asas mengenai 13 Mei,” katanya.
Kua mencadangkan agar kerajaan memberikan penghormatan kepada mereka yang terkorban dengan mendirikan tugu peringatan.
“Paling tidak, itu sesuatu kita boleh buat untuk korban 13 Mei yang tidak bersalah,” katanya.
Katanya, pada 2015, 138 mayat yang ditemukan dalam kubur besar di Wang Kelian telah digali dan dikenal pasti oleh pihak berkuasa.
“Mengapa perkara yang sama tidak boleh dilakukan untuk mangsa 13 Mei?” soal Kua.
Beliau juga menggesa kerajaan agar menyahklasifikasi dan mendedahkan kepada umum semua dokumen rasmi berhubung kejadian itu.
Itulah cara terbaik untuk menjelaskan keseluruhan kebenaran, kata Kua.