
Beliau yang juga pengarah pilihan raya BN, berkata pemilihan calon menjadi “lebih berat” kerana mereka membawa nama parti susulan persepsi bermacam-macam.
“Selaku pengarah pilihan raya BN dan Umno, saya kena menyiapkan jentera parti termasuk menyenarai pendek calon dari negeri-negeri.
“Kali ini tugas lebih berat lagi kerana kita perlu memilih calon yang mesti menang, bukan boleh menang, kemungkinan menang itu perlu melebihi 50%, calon membawa nama parti kerana persepsi macam-macam terhadap parti,” katanya menurut Harian Metro.
Mohamad yang juga timbalan presiden Umno, berkata BN juga tidak mengambil mudah cabaran PRN di enam negeri, termasuk negeri dikuasai kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang.
“Dalam pilihan raya kita tidak boleh memandang mudah, tak boleh kata Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang, ada ‘advantage’ (kelebihan), dia macam main bola juga,” katanya.
Katanya, kesiapsiagaan jentera merupakan perkara penting supaya dapat menghasilkan keputusan baik.
“Seperti saya katakan, bukan saja kita kena ada jentera yang mantap tapi juga calon yang terbaik,” katanya.