Dr M sentiasa salahkan orang lain, tak pernah akui salah sendiri, kata Ramasamy

Dr M sentiasa salahkan orang lain, tak pernah akui salah sendiri, kata Ramasamy

P Ramasamy mengulas tindakan bekas PM itu meninggalkan GTA atas 'kegagalan gabungan itu berfungsi', yang dilaporkan semalam.

P Ramasamy berkata, Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak lagi bersama mana-mana parti politik mahupun gabungan, tetapi beliau masih ‘sangat berpolitik’.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mengkritik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana tidak pernah mengakui kelemahan dirinya dalam politik.

Ramasamy berkata, keputusan Mahathir untuk meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA) dilaporkan semalam, yang menurutnya disebabkan kegagalan GTA meraih sokongan pengundi, menjadi bukti bahawa beliau sentiasa menyalahkan orang lain tetapi tidak dirinya sendiri.

“Bagi Mahathir, (tindakan) melompat dari satu parti ke parti lain adalah disebabkan kegagalan pihak lain. Tidak pernah sekali pun (disebabkan) kesalahan atau kegagalannya sendiri,” kata Ramasamy dalam kenyataan, memetik tempoh Mahathir sebelum ini bersama Umno, Bersatu, Pejuang dan GTA.

Ramasamy berkata, Mahathir silap apabila menyebut kegagalan GTA meraih sokongan, terutamanya berkait keputusan pada PRU15 di mana bekas perdana menteri itu sendiri gagal mengekalkan kerusi Parlimen Langkawi dan kehilangan wang deposit.

“Mahathir mengisytiharkan beliau meninggalkan GTA kerana gabungan itu gagal mendapat sokongan orang Melayu.

“Sekali lagi, salah orang lain, sudah tentu bukan salah beliau sendiri,” katanya.

GTA, bersama Pejuang pimpinan Mahathir ketika itu, bertanding di 125 kerusi pada PRU15. Bagaimanapun, semua calonnya kecundang serta kehilangan wang deposit.

Dalam mewajarkan keputusannya meninggalkan GTA, gabungan yang terdiri daripada parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional, Mahathir juga berkata, beliau mahu memberikan tumpuan kepada Proklamasi Orang Melayu, inisiatif terbarunya untuk menyatukan komuniti itu.

Katanya, jika beliau kekal dalam politik, orang Melayu daripada parti politik lain, khususnya dalam kerajaan perpaduan, mungkin tidak selesa untuk menyokong proklamasi itu.

Tambahnya, orang Melayu yang menganggotai Umno, PKR, Amanah dan DAP kini boleh rasa lebih selesa menandatangani proklamasi itu.

Ramasamy berkata, Mahathir mungkin tidak lagi bersama mana-mana parti politik mahupun gabungan, tetapi beliau masih “sangat berpolitik”.

“Politik untuk Mahathir bukan tentang membawa perubahan progresif kepada negara, tetapi hanya tentang sekumpulan kecil elit Melayu, termasuk dirinya, terus memegang dan mengekalkan kuasa,” katanya.

Tambahnya, Proklamasi Orang Melayu hanyalah satu langkah untuk menggugat kestabilan kerajaan perpaduan, bukan untuk menjaga kebajikan orang Melayu.

Awal bulan ini, Presiden PAS Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain parti itu turut menandatangani dokumen itu untuk menandakan sokongan mereka terhadap seruan Mahathir agar orang Melayu bersatu dan “menyelamatkan” komuniti.

Beberapa pemimpin Bersatu, termasuk timbalan presidennya Ahmad Faizal Azumu, ketua penerangan Razali Idris dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, turut menandatangani dokumen itu atas kapasiti peribadi.

Mahathir menubuhkan GTA Ogos lepas. Beliau mengasaskan Pejuang pada 2020 selepas meninggalkan Bersatu, yang ditubuhkannya pada 2016 selepas meninggalkan Umno.

Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Pejuang pada 16 Dis selepas perselisihan dengan pemimpin lain dalam parti, termasuk anaknya Mukhriz, mengenai keperluan kekal bersama GTA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.