
Aqim Marzuki, penternak di Cattle Queen Ranch di Kluang, Johor, berkata ia juga boleh menjejaskan keterjaminan makanan.
Katanya, beberapa haiwan ternakannya mengalami kesukaran bernafas dan terdapat penurunan dalam kualiti makanan.
Daya pengeluaran dalam kalangan pekerja juga berkurangan kerana mereka tidak boleh bekerja terlalu lama di lapangan, tambahnya.
Aqim berkata, rumput untuk haiwan juga gagal tumbuh subur disebabkan gelombang haba.
“Rumput tidak sehijau seperti yang sepatutnya dan ini menjejaskan kualiti makanan,” katanya kepada FMT.
Walaupun gelombang haba tidak menyebabkan harga barangan meningkat, Aqim berkata, ia akan membawa kepada pengeluaran lebih rendah.
“Pengeluaran lebih rendah akan menyebabkan kenaikan harga, dan kami (penternak) terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi atau melabur lebih banyak untuk menyiram rumput atau membayar pekerja lebih masa kerana terpaksa bekerja pada waktu malam.
“Kos ini akan meningkatkan harga jualan kami,” katanya.
Beliau berkata fenomena El Niño – dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini – yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan suhu, akan memburukkan lagi keadaan.
Aqim berkata, walaupun langkah berjaga-jaga sedang diambil, penternak menunggu maklumat terkini daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tentang rancangannya untuk membantu pemain industri.
Bagaimanapun, peniaga ayam itik Richard Wan berkata, perniagaan tidak terjejas akibat gelombang haba dan beliau tidak menjangkakan harga akan meningkat dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi apabila penternak sedang cuba menghabiskan stok.
“Iklim ini akan menjejaskan penternak ayam dan gelombang haba boleh menyebabkan ayam mati lebih cepat. (Namun) harga agak stabil setakat ini,” katanya.
Sebelum ini, petani berkata, gelombang haba menyebabkan peningkatan populasi serangga perosak, mengakibatkan penurunan dalam pengeluaran sayur-sayuran dan kenaikan harga hingga 40%.
Kata mereka lagi, mereka menanggung lebih banyak kos kerana perlu menyiram tanaman dengan lebih kerap untuk mengelakkan sayur-sayuran layu.
Cuaca panas dijangka berlarutan sehingga Ogos.