Bicara Rosmah ditangguh tunggu peguam negara pertimbang representasi

Bicara Rosmah ditangguh tunggu peguam negara pertimbang representasi

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan menerima representasi itu, tetapi memberitahu mahkamah, beliau masih belum membuat janji temu dengan peguam negara.

Rosmah Mansor berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah Mansor ditangguhkan kerana Jabatan Peguam Negara masih belum membuat keputusan berhubung representasi yang dikemukakan pihaknya.

Geethan Ram Vincent, selaku peguam Rosmah, memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy hari ini bahawa representasi dikemukakan pada 3 Mei untuk menggugurkan tuduhan.

“Kami memohon penangguhan agar Jabatan Peguam Negara dapat mempertimbangkan representasi. Saya percaya pihak pendakwaan tiada bantahan (terhadap perkara ini),” katanya.

Perbicaraan dijadualkan bermula hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan menerima representasi itu, tetapi berkata beliau masih belum membuat janji temu dengan Peguam Negara Idrus Harun.

“Saya sibuk dengan perbicaraan jenayah lain. Saya perlu membuat kajian dan menyediakan laporan berdasarkan fakta dan isu yang dibangkitkan dalam representasi (yang dikemukakan) kepada pihak atasan saya.

“Disebabkan kerumitan perkara itu, saya menggesa mahkamah memberi kami masa dua bulan untuk membuat keputusan berhubung representasi,” katanya.

Apabila disoal Muniandy, Akram berkata, pihak pendakwaan tidak bersedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini.

“Tidak (bersedia), kerana isu undang-undang yang serius telah dibangkitkan dalam representasi,” katanya.

Hakim membenarkan penangguhan dan mengosongkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada hari ini; 28 Mei; 30 Jun; 6, 7,27, 28 dan 31 Julai; serta 1, 2 dan 11 Ogos.

Beliau menetapkan 24 Ogos untuk perbicaraan dimulakan sekiranya representasi ditolak.

Pada 23 Mac, pihak pendakwaan memberitahu Muniandy, ia mahu memanggil 13 saksi untuk memberikan keterangan dalam kes Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Rosmah berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750, serta lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017.

Rosmah didakwa atas tuduhan melakukan kesalahan-kesalahan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Okt 2018 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam kes berasingan, pada 1 Sept tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah bersalah atas tuduhan meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek tenaga solar sekolah di Sarawak.

Dia juga disabitkan bersalah menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, dan satu lagi tuduhan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi ketiga-tiga tuduhan itu tetapi memerintahkannya berjalan serentak.

Mahkamah memutuskan, jika Rosmah gagal membayar denda RM970 juta, dia perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun lagi, selepas menamatkan hukuman awal 10 tahun.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan pada 11 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.