
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Raman Noordin, berkata pihaknya mengambil maklum tentang luahan di laman Twitter mengenai masalah kekurangan bekalan air di kampus tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata, UMS menyambut baik cadangan pelajar untuk mengadakan kelas dalam talian sekiranya keadaan isu air semakin menyulitkan.
Sebelum ini, isu berkenaan tular membabitkan satu perbualan aplikasi membabitkan pelajar memohon pertimbangan pensyarah agar kuliah diadakan secara dalam talian berikutan ketiadaan air di kolej kediaman pelajar, sejak Jumaat lalu.
Namun, dalam perbualan itu, pensyarah terbabit memohon maaf kepada pelajar kerana tidak dapat memenuhi permintaan sebaliknya meminta pelajar terlibat untuk datang ke kuliah seperti biasa.
“Pelajar juga boleh mendapatkan info semasa termasuk perkembangan hal ehwal berkaitan air di dalam kumpulan whatsapp kolej kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut berkenaan gangguan air, Raman berkata, kampus induk UMS memerlukan sekitar tiga hingga lima juta liter sehari untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus.
Menyedari akan keperluan mendesak warga kampus khususnya di kolej kediaman pelajar, beliau berkata, UMS ketika ini juga menggunakan perkhidmatan lori tangki bagi membekalkan air terawat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Pihak UMS juga berinisiatif mencari sumber air alternatif dalam kampus. UMS telah membuat satu perpaipan daripada punca air bukit, dalam kampus yang mampu membekalkan air sebanyak 60,000-80,000l sehari.
Mac lalu, UMS memperuntukkan RM350,000 untuk pelbagai projek inovasi yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah bekalan air yang serius di kampus universiti itu untuk tempoh jangka masa panjang.
Naib Canselor UMS, Kasim Mansor berkata, peruntukan itu antara lain bagi pelaksanaan projek inovasi bekalan sumber air dalaman seperti air graviti, air bawah tanah dan air hujan.