
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu akan dikecilkan kepada 2,300 ekar atas sebuah pulau di selatan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berbanding rancangan asal tiga pulau berkeluasan 4,500 ekar.
Katanya, ini bermakna hanya 115 nelayan dari Permatang Tepi Laut akan terjejas berbanding 496 nelayan jika tiga pulau dibina.
“Secara keseluruhan, pembangunan Pulau Silikon (dahulu Pulau A) akan mengambil masa kira-kira 20 tahun, termasuk pembangunan bahagian atas,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, pengecilan itu berdasarkan gesaan Anwar dan jaminan Putrajaya melaksanakan projek transit aliran ringan (LRT) pertama di Pulau Pinang.
Katanya, Pulau Silikon akan dibina dalam dua fasa, dengan fasa pertama seluas 1,300 ekar mengambil masa tujuh hingga 10 tahun disiapkan. Sebuah depot LRT dijadualkan dibina atas tapak 60 ekar di sana.
Fasa kedua akan menambah 1,000 ekar lagi kepada pulau itu.
Beliau berkata, rancangan asal ialah membina depot LRT di seberang lapangan terbang, tetapi dibatalkan kerana membabitkan penempatan semula tiga kampung, tempat ibadat dan kesan sosial.
Oleh itu, katanya, depot terbabit akan dibina di pulau buatan berkenaan.
Chow berkata, kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk penambakan itu masih sah kerana tiada perubahan terhadap rancangan yang dikemukakan terdahulu.
“Fasa pertama Pulau Silikon tidak akan membawa kesan kepada nelayan.”
Pengarah projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong berkata, penambakan pulau itu dianggarkan menelan kos RM8.5 bilion, dengan RM2.5 bilion untuk kemudahan bersama.
EIA projek penambakan bagi semua tiga pulau itu diluluskan pada 26 April lalu, tetapi tertakluk kepada 71 syarat.
Projek itu diluluskan pada 2019, tetapi kelulusan EIA dibatalkan susulan rayuan sekumpulan nelayan.
Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar sebulat suara memihak kepada nelayan pada 2021 atas alasan projek itu belum diwartakan di bawah Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030.
Kerajaan negeri gagal dalam cubaannya membatalkan keputusan itu di Mahkamah Tinggi kerana melebihi tempoh penangguhan tiga bulan untuk memfailkan rayuan.
Kerajaan Pulau Pinang mengemukakan permohonan EIA baharu pada 29 April 2022.