
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian pada 2 pagi semalam berlaku ketika mangsa memandu forklift itu secara mengundur dengan laju dan “fork” dinaikkan pada aras tertinggi.
“Mangsa berumur 20 tahun itu telah membuat pusingan U secara mengejut menyebabkan forklift tersebut terbalik lalu menghempap badan mangsa. Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.
Susulan kejadian itu, JKKP Selangor mengeluarkan Notis Pembaikan untuk membuat perancangan berkenaan dengan pengemasan secara berkala di kawasan tempat kerja kepada majikan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
“JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.
“JKKP Selangor juga memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan mengenal pasti terlebih dulu risiko atau bahaya di kawasan mereka.”