PAS harap kerajaan teruskan rancangan pentadbiran lepas selesai isu air Kelantan

PAS harap kerajaan teruskan rancangan pentadbiran lepas selesai isu air Kelantan

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pentadbiran lalu mempunyai beberapa rancangan seperti projek TAPS dan menukar paip di Kelantan secara berperingkat, yang menelan kos dan masa.

Rancangan pentadbiran terdahulu bagi mengatasi masalah air di Kelantan termasuk projek TAPS dan menukar paip air secara berperingkat, kata Tuan Ibrahim Tuan Man. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS berharap pentadbiran Anwar Ibrahim meneruskan rancangan yang diatur oleh pentadbiran lepas bagi menyelesaikan isu bekalan air bersih di Kelantan.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga bekas menteri alam sekitar dan air dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata pentadbiran terdahulu mempunyai beberapa rancangan bagi mengatasi masalah itu, seperti projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan menukar paip air di Kelantan secara berperingkat.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan dilapor memperuntukkan RM1.3 bilion bagi pembinaan TAPS di Machang, iaitu takungan air pinggiran sungai bagi menyimpan air dari Sungai Kelantan untuk dibekalkan ke loji rawatan, beserta loji rawatan dan pemasangan paip.

“Saya sudah proses satu TAPS besar di Machang dengan kapasiti 500 juta liter sehari. Kerajaan negeri sudah menguntukkan 1,000 ekar tanah,” katanya kepada FMT.

“Kedua, paip lama perlu tukar. Kosnya besar dan negeri tak mampu – RM3 bilion untuk satu negeri. Perancangan sudah ada tapi bukan boleh siap segera.”

Isu air di Kelantan kembali menjadi perhatian baru-baru ini selepas seorang wakil rakyat dilapor mengambil air daripada pili bomba untuk dihantar ke kampung yang memerlukan bantuan air.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, nafi dakwaan beliau mencuri air dan mendakwa tindakannya mendapat kebenaran Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan bomba negeri.

Pada Julai tahun lepas, Tuan Ibrahim ketika menjadi menteri dilapor memberitahu Dewan Rakyat bahawa masalah utama yang membawa kepada isu bekalan air di Kelantan bertitik tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan AKSB yang tidak mampan.

Tuan Ibrahim berkata pengendali air negeri akan “lega” sekiranya kerajaan boleh memperuntukkan RM2 bilion setahun untuk membolehkan ia menggantikan alatan operasi.

“Bila nak naik tarif, takut rakyat marah. Saya simpati kepada pengendali air. Saya jumpa mereka, saya faham nasib mereka. Bila nak ganti alaran operasi berjuta-juta kosnya, mereka tak ada duit.”

“Sampai masa kerajaan lihat secara menyeluruh, satu peruntukan khas diberi kepada negeri-negeri untuk menyelesaikan masalah air.”

Pentadbiran Anwar Ibrahim meluluskan pembinaan TAPS di Machang menerusi Rolling Plan Tiga dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.