Lelaki ditembak mati ada 21 rekod jenayah

Lelaki ditembak mati ada 21 rekod jenayah

Mangsa disyaki ditembak ketika berjalan menuju ke kenderaan selepas selesai makan bersama rakan.

Polis berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki ditemukan mati disyaki ditembak berhampiran medan selera di Jalan Bandar 1, Pusat Bandar Puchong, semalam.

Ketua Polis Serdang, A A Anbalagan, berkata mangsa berusia 31 tahun sebelum itu dikatakan keluar makan malam bersama beberapa rakannya.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan menemukan seorang lelaki terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri, disyaki ditembak berhampiran medan selera, 12.35 tengah malam.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk bedah siasat dan hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, mangsa bersama rakan pergi makan di medan selera tersebut, 10 malam (Rabu).

“Selepas makan malam pada 12.35 tengah malam Khamis, mangsa berjalan kaki menuju ke kenderaan dan secara tiba-tiba dipercayai ditembak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 21 rekod jenayah antaranya pernah dihukum di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, selain pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Anbalagan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh manakala motif kejadian masih belum dikenal pasti serta polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.