
Nga berkata, kerajaan tetap dengan pendirian menyambut kedatangan kumpulan itu di Malaysia yang dijadualkan pada November ini.
“Jika PAS tidak suka Coldplay mudah sahaja – jangan beli tiket konsert mereka. Itu sahaja, tetapi jangan halang peminat Coldplay menghadiri konsert mereka,” katanya kepada wartawan pada acara Hari Raya.
Nga berkata, artis antarabangsa lain seperti Adele dan Taylor Swift juga dialu-alukan untuk membuat persembahan di Malaysia.
“Ini kerana kita tahu bahawa ini bukan hanya tentang persembahan, tetapi persembahan seperti ini dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya yang menambah kesannya adalah besar.
Katanya, konsert Coldplay selaras aspirasi kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar raya metropolitan dengan hiburan dan persembahan.
Nga berkata, falsafah Coldplay juga selaras inisiatif kementeriannya untuk membersihkan alam sekitar. Beliau merujuk satu inisiatif pada 2021 di mana kumpulan itu menaja kapal untuk mengeluarkan sampah plastik dari sungai Malaysia.
Katanya, beliau juga ingin memperkenalkan anggota kumpulan itu kepada hidangan istimewa Malaysia seperti nasi lemak, nasi kerabu dan roti canai supaya mereka dapat mempromosikan negara kepada pelancong.
“Jangan lupa bahawa 2025 adalah Tahun Melawat Malaysia. Kita mesti bermula (mempromosikan negara) dari sekarang, oleh itu kita pasti akan menyambut mereka,” katanya.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan, menasihati kerajaan membatalkan konsert Coldplay, dengan mendakwa ia akan menggalakkan “budaya hedonisme dan songsang” dalam negara.
Dalam catatan di Facebook, Nasrudin menyertakan gambar penyanyi kumpulan Coldplay, Chris Martin, memegang bendera LGBT di satu konsert di London.
Coldplay mengumumkan untuk kembali membuat persembahan yang sangat dinanti di Asia dalam konsert jelajah “Music of the Spheres” di beberapa stadium pada November ini.