Fahmi berharap RUU majlis media dibentang tahun ini

Fahmi berharap RUU majlis media dibentang tahun ini

Menteri komunikasi dan digital itu berharap untuk membentangkannya semasa sesi Oktober atau pada sesi Mac 2024.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata RUU Majlis Media Malaysia adalah komitmen kerajaan untuk memastikan kebebasan media di negara ini.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata beliau berharap dapat membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia pada tahun ini kerana ia perlu melalui proses yang sewajarnya.

“Proses ini memerlukan kami mengemukakan memorandum kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu, kemudian ke Jabatan Peguam Negara dan kemudian ke Parlimen,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat bulanan kementeriannya.

“Kami berharap untuk membentangkannya sebelum akhir tahun semasa sesi Oktober atau sesi Mac 2024.”

Fahmi sebelum ini berkata, draf RUU majlis media sedang dibincangkan oleh organisasi media, syarikat berkaitan dan pertubuhan pengamal media.

Beliau berkata RUU itu adalah komitmen kerajaan untuk memastikan kebebasan media di negara ini.

Pembentukan majlis media dicadangkan pada tahun 2018 untuk mewakili pelbagai organisasi media di negara ini dalam memerangi berita palsu dan memastikan kesejahteraan pengamal media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.