
Bahagian Pengurusan Korporat Bomba dalam satu kenyataan berkata, tindakan terbabit diambil Ketua Balai Bomba Rantau Panjang mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu menyalahgunakan pili bomba.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak tetapi difahamkan individu yang dikenakan tindakan tersebut ada kaitan dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang sebelum ini dituduh mencuri air dari pili bomba.
“Status bagi kes ini ialah selesai di luar mahkamah, di mana pihak pelaku iaitu kontraktor yang terlibat telah mengaku salah dan membuat bayaran kompaun sebanyak RM100 pada 8 Mei.
“Mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 sesiapa yang menutup, mengepung, atau menyembunyikan mana-mana pili bomba hingga menjadikan tempatnya sukar dipastikan, atau mengganggu mana-mana pili bomba, atau menggunakan pili bomba selain tujuan menentang kebakaran, adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya dalam kenyataan itu.
Katanya, menurut Seksyen 23 (1) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 tiada seorang pun selain pihak berkuasa boleh melakukan apa-apa kerja menjejaskan pili bomba atau aliran air kepadanya, melainkan memberi notis bertulis kepada Pengarah Bomba Negeri tujuh hari sebelum kerja dimulakan.
“Dalam keadaan kecemasan, kerja-kerja boleh dilaksanakan terlebih dahulu dan notis hendaklah dikemukakan dengan kadar segera kepada pengarah negeri.
“Apa-apa kerja-kerja yang menjejaskan aliran air ke pili bomba haruslah mendapat kelulusan dan persetujuan pengarah negeri dan dikemukakan secara bertulis,” katanya.
Menurutnya, sekiranya memerlukan bantuan bekalan air, orang ramai hendaklah memohon mengikut saluran yang ditentukan iaitu daripada pihak berkuasa air negeri berkenaan.
Zailah sebelum ini menafikan dakwaan beliau mencuri air dari pili bomba sebaliknya menegaskan mendapat kebenaran mengambil air dari sumber itu untuk diagihkan kepada penduduk yang terputus bekalan air.
Katanya, beliau memaklumkan kepada Balai Bomba Rantau Panjang dan mendapat bantuan dari anggota bomba yang membantunya membuka pili serta menyalurkan air ke dalam lori.