BN belum muktamad hasrat rakan sekutu guna lambang dacing

BN belum muktamad hasrat rakan sekutu guna lambang dacing

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan semalam mendedahkan ada rakan sekutunya mahu menggunakan lambang BN di negeri tertentu untuk mendapat kelebihan.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, Dewan Tertinggi BN belum memuktamadkan hasrat rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan menggunakan lambang dacing pada PRN. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan hasrat rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan menggunakan lambang dacing pada PRN akan datang.

“Hasrat itu ada, tetapi kita belum muktamadkan,” kata Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi kawalan keganasan.

Semalam, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mendedahkan ada rakan sekutunya berhasrat menggunakan lambang BN di negeri tertentu untuk mendapatkan sedikit kelebihan ketika PRN.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, trend aktiviti keganasan di Malaysia menurun, dengan indeks kedudukan ancaman keganasan global (GTI) negara di kedudukan ke-75 berbanding 63 pada 2021.

Timbalan perdana menteri berkata, individu ditahan membabitkan aktiviti keganasan turut berkurangan pasca Covid-19.

“Secara keseluruhan, trend aktiviti keganasan dalam negara menurun daripada tujuh tangkapan berkait aktiviti keganasan pada 2020 kepada dua tangkapan pada 2022.”

Beliau berkata, kajian menunjukkan keganasan berpunca daripada agama, tetapi bukan dalam kalangan agamawan.

“(Keganasan) dilakukan oleh mereka yang tiada latar belakang agama, tetapi mereka mahu mencari jalan singkat ke syurga.

“Kita mesti elakkan perbezaan fahaman politik, ketaksuban agama dan ketebalan rasa perkauman.”

Justeru, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah merangka pelan pencegahan membabitkan kurikulum pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi menangani fahaman pelampau keganasan secara holistik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.