
Bagaimanapun katanya, pemasangan lampu pintar dengan kos melebihi RM7,000 seunit itu bergantung kepada spesifikasi lampu dan akan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Ramai penduduk kampung Orang Asli mengadu mereka bergelap dan menuntut supaya kerajaan negeri untuk memasang lampu jalan,” katanya.
“Dahulu memang ada program pencahayaan kampung yang mana bil elektrik dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) namun terlalu banyak kampung yang menyebabkan kerajaan tidak mampu membayarnya.
“Dengan adanya teknologi ini maka tiada masalah untuk membayar bil elektrik lagi kerana penjanaan semula tenaga elektrik adalah menggunakan solar sekali gus menjimatkan kos.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pelestarian Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) @ Meru Raya dengan penggunaan ‘Smart Solar Streetlighting & Rooftop Solar Panel’ di sini malam tadi.
Saarani berkata, kerajaan negeri akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan lampu jalan solar pintar dipasang dan perlu diberikan keutamaan berikutan banyak permohonan diterima dari seluruh negeri, termasuk kawasan Felda.
Sementara itu, beliau berkata, Perak berupaya mencapai lebih banyak kawasan berstatus bandar raya pada masa akan datang, termasuk Manjung dan Tanjung Malim.
“Selain Manjung yang sudah menyatakan kesediaan, Tanjung Malim juga contohnya dijangka mengalami pertambahan penduduk apabila ramai pekerja industri berpindah ke kawasan itu yang menyebabkan banyak kemudahan dibina seperti sekolah, pasar dan hospital, menggamit penambahan sebuah bandar raya baharu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kriteria seperti bilangan penduduk perlu dipersetujui oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperoleh pengiktirafan sebagai bandar raya.
Katanya kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menyediakan perumahan mencukupi bagi menampung pertambahan bilangan penduduk dan perlunya sebuah entiti yang mengawal pembangunan tersebut ke arah mencapai status bandar raya.