
Aziz Kaprawi berkata, jumlah ketibaan pelancong dari China, yang merangkumi separuh daripada jumlah pelancong antara 2017 hingga 2019, ke Sabah turun secara mendadak akibat pandemik Covid-19.
Menurut Lembaga Pelancongan Sabah, 43.4% pelancong antara 2017 hingga 2019, atau hampir 600,000 ketibaan, datang dari China, tetapi jumlah itu merosot kepada 6.3% pada Jun 2022.
“Memiliki syarikat penerbangan sendiri akan membolehkan Sabah membawa lebih ramai pelancong dari China dengan penerbangan terus ke negeri itu,” Aziz beritahu FMT.

Katanya, syarikat penerbangan tambahan juga akan membawa kepada harga lebih berdaya saing yang akan memanfaatkan pelancong, tidak kira mereka dari China atau Asia Tenggara.
“Tambang penerbangan lebih murah pasti akan menarik lebih ramai pelancong,” katanya mengulas rancangan membentangkan cadangan menubuhkan syarikat penerbangan sendiri di Dewan Undangan Negeri Sabah bulan ini.
Aziz berkata, syarikat penerbangan milik negeri juga akan memanfaatkan rakyat Sabah.
“Orang Sabah mengadu sukar mendapatkan penerbangan dan tambang terlalu tinggi pada musim perayaan. Syarikat penerbangan milik negeri boleh menyelesaikan masalah ini.”
Adun Kuamut, Masiung Banah dari Parti Gagasan Rakyat Sabah yang akan membentangkan usul itu berkata, kerajaan negeri perlu mencontohi langkah Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
Sarawak mencadangkan penubuhan syarikat penerbangan sendiri dua tahun lalu.