Pelajar Malaysia di UK mohon bantuan selepas akaun bank kena beku

Pelajar Malaysia di UK mohon bantuan selepas akaun bank kena beku

Pelajar tahun akhir jurusan undang-undang Sidiq Hayat berkata akaun banknya diletakkan di bawah "semakan kawal selia".

Pelajar Malaysia di UK, Sidiq Hayat mendakwa dia kini tidak mempunyai wang selepas akaun banknya dibekukan. (rawpixel pic)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar Malaysia di United Kingdom memohon bantuan selepas akaun banknya dibekukan pada Jumaat lalu atas alasan “aktiviti yang mencurigakan”.

Sidiq Hayat, 23, hanya mengetahui bahawa akaunnya dibekukan apabila dia ingin membayar makanan tetapi kad debitnya ditolak.

Pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Essex itu baru-baru ini memindahkan semua wangnya ke bank selepas tertarik dengan promosi bayaran balik tunai.

Lebih kurang seminggu kemudian, baki sekitar £600  dibekukan dalam akaun itu. Bank berkata akaun itu diletakkan di bawah “semakan kawal selia”.

Sidiq Hayat.

Sidiq, yang berasal dari Sungai Buloh, mendakwa dia tidak mempunyai wang tunai kerana membuat semua transaksinya melalui kad debitnya.

Katanya, rayuannya kepada bank juga tidak berjaya.

Sidiq mengatakan dia terkejut bahawa akaun banknya disiasat kerana transaksi pertama yang dia lakukan adalah untuk membayar sewa penginapan di kampus sebanyak £1,400 pada minggu lalu.

“Saya hanya menerima £400 hingga £500 sebulan dari ayah saya dan biasanya memasak di rumah kerana makan di luar mahal. Saya hanya akan makan di luar sekali sebulan untuk membeli makanan Malaysia.

“Nasib baik, rakan-rakan saya membantu membayar hidangan nasi ayam berharga £10 pada Jumaat lalu, tetapi kenyataannya adalah saya tidak mempunyai wang,” katanya, menambah bahawa keluarganya tidak dapat memberinya lebih banyak wang bulan ini.

Sidiq mendakwa dia diberikan pelbagai alasan oleh pegawai perkhidmatan pelanggan bank dan turut berkongsi dengan FMT tangkapan skrin perbualannya dengan pegawai itu.

Dia juga berkongsi emel daripada jabatan aduan bank minggu lalu yang memberikan jaminan akan memberikan jawapan dalam tempoh tiga hari tetapi Sidiq berkata, tiada sebarang berita setakat ini.

Katanya, kerana terdesak, Sidiq menggunakan Twitter untuk meminta bantuan. Katanya, beberapa rakannya di Malaysia membantu dengan menghantarnya wang melalui perkhidmatan e-wallet tetapi ia hanya cukup untuk beberapa hari sahaja.

“Lebih malang lagi peperiksaan akhir saya bermula esok dan saya akan tamat pengajian pada Julai ini. Walaupun ramai kawan-kawan saya simpati tetapi saya tidak pasti berapa lama saya mampu bertahan tanpa wang,” katanya.

FMT telah menghubungi bank, Wisma Putra, Perkhidmatan Ombudsman Kewangan UK, dan Pihak Berkuasa Tinggi Perkhidmatan Kewangan untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.