Kutipan harian cukai meningkat 20% banding tahun lalu

Kutipan harian cukai meningkat 20% banding tahun lalu

LHDN berkata sekiranya trend ini kekal sasaran kutipan hasil RM176.1 bilion tahun ini boleh dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Mohd Nizom Sairi, berkata kesedaran, pendidikan, dan perkhidmatan akan diperkemas untuk meningkatkan tahap kepercayaan rakyat melihat cukai sebagai aset negara.
PETALING JAYA:
Kutipan cukai tahun ini menunjukkan trend positif dengan kutipan harian mencatatkan 20% lebih tinggi berbanding tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Mohd Nizom Sairi.

Beliau berkata, sekiranya trend positif ini kekal LHDN mampu mencapai sasaran kutipan hasil berjumlah RM176.1 bilion tahun ini atau melepasi sasaran tersebut.

“Kita berada pada tahap yang sangat memberangsangkan. Terima kasih kepada pembayar cukai yang terus mengekalkan tahap pematuhan yang baik,” katanya menurut Bernama.

Mengenai sama ada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus akan menjejaskan kutipan cukai, Nizom berkata, ia kemungkinan akan memberi kesan secara tidak langsung namun tidak serta-merta.

“Mungkin (ada kesan) secara tidak langsung tetapi tidak secara immediate (serta-merta),” katanya.

Pada 3 Mei, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.

Tahun lalu, LHDN mencipta sejarah meraih kutipan cukai langsung tertinggi negara sebanyak RM175.4 bilion atau peningkatan 21.75%, berbanding 2021.

Nizom berkata pendekatan A.E.S (awareness-kesedaran, education-pendidikan dan services-perkhidmatan) yang diperkenalkan LHDN akan diperkemaskan bagi memartabatkan cukai sebagai aset negara secara berterusan demi mempertingkatkan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata, antara hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan adalah sekiranya pendapatan negara daripada sumber cukai langsung terus meningkat, kerajaan mampu memulangkan manfaatnya kepada rakyat.

“Sudah pasti pelbagai agenda bermanfaat untuk rakyat akan dapat direalisasikan. Taraf kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat akan dapat turut diperhebat melalui pelbagai projek pembangunan hasil daripada sumber pendapatan negara yang mencukupi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.