
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata demikian sebagai mengulas desakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu yang mahu perdana menteri mengisytiharkan harta susulan mendakwa Anwar juga “pemimpin terdahulu” yang dituduh rasuah.
Lee turut membidas Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang senada dengan Mahathir, menyokong desakan itu.
“Saya juga ingin memperjelaskan bahawa dakwaan bahawa Anwar tidak mendedahkan kekayaan beliau adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Anwar bersama calon PKR lain sebelum PRU membuat pengisytiharan untuk menunjukkan ketelusan parti.
Katanya, kelihatan Bersatu kini sudah mula tunduk kepada kehendak pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu.
Beliau juga sinis mengucapkan tahniah kepada Mahathir berhubung “kepimpinannya” dalam Perikatan Nasional (PN).
“Presiden PAS Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu bersama Mahathir. Kini, Faizal sebagai pimpinan kanan Bersatu pula mendokong kenyataan beliau. Jelas bahawa pengaruh PAS dan Bersatu dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir,” katanya.
Lee berkata, Mahathir juga digambarkan menjadi “ketua umum” kepada PN, merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin PAS menandatangani proklamasi tersebut yang digerakkan bekas perdana menteri itu.