
Chang berkata tiada lagi lanjutan untuk Lynas dan menambah beliau tidak boleh mengubah keputusannya menolak rayuan Lynas bagi mengubah empat syarat yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
“Ia tidak dibolehkan undang-undang,” katanya ketika ditanya wartawan adakah Lynas akan mendapat lanjutan lagi.
Kementerian itu mengadakan tribunal tertutup pada 28 April lalu untuk mendengar rayuan Lynas terhadap empat syarat yang ditetapkan pada Mac 2020, yang melarang mengimport dan memproses elemen nadir bumi.
Menurut Akta Perlesenan Tenaga Atom, Chang mempunyai kuasa untuk memutuskan rayuan Lynas. Kementerian semalam mengumumkan bahawa rayuan Lynas untuk mengeluarkan empat syarat pelesenan ditolak.
Chang menjelaskan bahawa Lynas diberi lanjutan enam bulan untuk terus menjalankan aktiviti “cracking dan leaching” di kilangnya di Gebeng, Pahang, untuk mengelakkan menjejaskan rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.
Lanjutan ini juga bertujuan untuk memberi masa Lynas menyiapkan kilang “cracking dan leaching” syarikat itu di Australia yang hampir siap, katanya.
Chang berkata bahawa lanjutan ini mengambil kira kemungkinan kilang itu tidak siap sebelum Julai.
Pada 14 Feb, lesen pengendalian Lynas di Malaysia diperbaharui selama tiga tahun tanpa perubahan dalam syarat perlesenan.
Kemudian, Lynas mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan empat syarat tersebut. Ia ditolak oleh AELB, yang membawa kepada rayuan pada 28 April.
Syarat utama adalah Lynas mesti memindahkan aktiviti “cracking dan leaching” ke lokasi di luar Malaysia dan hanya menapis bahan perantara di fasiliti Gebeng pada 1 Julai.
Lanjutan enam bulan ini melewatkan tarikh akhir ini hingga 31 Dis.