Tak terkejut jika PAS, DAP bersatu semula, kata Mat Sabu

Tak terkejut jika PAS, DAP bersatu semula, kata Mat Sabu

Presiden Amanah berkata PAS akan mengubah pendirian berhubung pakatan politik demi 'mengukuhkan kedudukannya'.

Mohamad Sabu berkata PAS dan DAP pernah menjadi sekutu dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau tidak akan terkejut jika PAS bersatu semula dengan DAP untuk membentuk pakatan politik dalam masa terdekat.

Katanya, ada duluan kerana PAS dan DAP pernah menjadi sekutu dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Sekarang dia (PAS) maki DAP, dua tahun lagi dia kata DAP kawan kita,” katanya dalam program di Pendang, Kedah, malam tadi.

PAS kini parti komponen Perikatan Nasional (PN), manakala DAP menganggotai Pakatan Harapan (PH).

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, ia juga ironi kerana PAS tidak boleh mengkritik kerjasama PH dengan Umno dan Barisan Nasional dalam kerajaan perpaduan memandangkan parti Islam itu pernah membentuk Muafakat Nasional dengan Umno selepas PRU 2018.

Katanya, PAS sentiasa bersedia mengubah pendirian berhubung pakatan politiknya demi “mengukuhkan kedudukannya”.

Beliau berkata, ini terbukti dengan pemimpin PAS menyokong Proklamasi Orang Melayu Dr Mahathir Mohamad.

Baru-baru ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti menandatangani dokumen berkenaan yang menandakan sokongan mereka terhadap gesaan bekas perdana menteri itu untuk menyatukan dan “menyelamatkan” orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.