Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

Menteri sumber manusia berkata ia bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar enggan menjawab apabila ditanya mengapa pegawainya dipecat. (Gambar Bernama)
BANGI:
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar mengesahkan lima pegawainya ditamatkan perkhidmatan, sambil menegaskan ia bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik.

“Itu memang berlaku, kita nak pastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kemuncak bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (PKP) bersama syarikat berkaitan kerajaan 2023.

Pada 4 Mei lalu, sumber kementerian memberitahu FMT, kontrak lima pegawainya diberhentikan.

Sementara itu, seorang lagi pegawai dipindahkan dari Kementerian Sumber Manusia ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pembantu Sivakumar, namun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat 17 April lalu.

Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan kelulusan kuota pekerja asing.

Beberapa pihak sebelum ini mendesak Sivakumar bercuti atau meletakkan jawatan selepas beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Sivakumar bertegas tidak akan meletak jawatan, sambil menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berpandangan tiada keperluan baginya berbuat demikian.

Ditanya mengapa mereka dipecat ketika kes itu masih dalam siasatan, Sivakumar enggan menjawab dan terus beredar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.