Serangan serangga perosak punca harga sayuran melonjak

Serangan serangga perosak punca harga sayuran melonjak

Petani berkata, cuaca panas menyebabkan populasi serangga perosak meningkat, mengurangkan hasil pengeluaran sayur-sayuran.

Choy sum (kiri) dan baby pak choy (kanan) yang dimakan oleh serangga perosak dan tidak boleh dijual.
PETALING JAYA:
Cuaca panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan populasi serangga perosak meningkat dan mengakibatkan hasil pengeluaran sayur-sayuran menurun, membawa kepada kenaikan harga sehingga 40%.

Lau Weng Soow, pengurus di Pek Ong and Sons Nurseries yang mempunyai ladang di Cameron Highlands berkata, cuaca panas meningkatkan kadar pembiakan serangga perosak pemakan daun seperti ulat tentera dan penggerek daun, serta kumbang.

Akibatnya, lebih banyak sayur-sayuran terjejas dan tanaman rosak.

Lazimnya, 90% daripada tanaman yang dituai di ladang adalah dalam kualiti “Gred A”, dengan daun sayuran menunjukkan kerosakan yang sangat sedikit . Walau bagaimanapun, kadar penuaian telah menurun daripada 90% kepada 70%.

“Kami tidak akan menjual sayur-sayuran itu jika terlalu banyak telah dimakan oleh perosak,” katanya kepada FMT.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata harga baby pak choy telah meningkat sebanyak 30% hingga 40%.

Sebelum gelombang panas, baby pak choy dijual antara RM2 hingga RM3 sekilogram.

“Harga pasaran semasa bagi baby pak choy berkualiti tinggi meningkat antara RM5 dan RM6 sekilogram, manakala yang daunnya dimakan serangga perosak dijual antara RM3 dan RM3.50,” katanya.

Wong berkata petani sayur juga terpaksa menanggung lebih banyak kos untuk menyiram tanaman mereka lebih kerap semasa gelombang panas bagi mengelakkan sayur-sayuran layu.

Cuaca panas dijangka berlarutan sehingga Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.