
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Julaihi Narawi, berkata pewartaan kawasan tersebut bagi memenuhi permintaan air yang semakin meningkat.
“Kita mahu wartakan sebanyak 42 kawasan (tadahan air baharu) lagi di seluruh Sarawak dalam masa terdekat, sebab kita nak pastikan kita ada sumber air mentah yang cukup,” katanya selepas merasmikan pejabat baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Samarahan.
Julaihi berkata, kawasan tadahan air yang akan diwartakan tersebut merangkumi kawasan sungai, takungan, atau hutan yang dapat mengumpul air hujan.
Katanya, sumber air daripada kawasan tadahan itu kemudian akan diproses menjadi air terawat yang disalurkan kepada pengguna di negeri ini, sama ada untuk keperluan domestik atau industri.
Beliau berkata, selepas diwartakan, orang ramai juga tidak boleh memasuki atau menceroboh kawasan tadahan air itu.
“Kita juga perlu pastikan air (dari kawasan tadahan air) itu adalah selamat,” katanya.