Peserta IPR dijangka bebas kemiskinan dalam 2 tahun

Peserta IPR dijangka bebas kemiskinan dalam 2 tahun

Menteri ekonomi berkata Inisiatif Pendapatan Rakyat membolehkan peserta menjana pendapatan, sekali gus mereka boleh keluar daripada kancah kemiskinan.

Rafizi Ramli berkata peserta IPR diharap dapat mencari model perniagaan lain, termasuk membuka warung selepas menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
KUALA LUMPUR:
Peserta program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi model Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) dan Inisiatif Usahawan Tani (Intan) dijangka berupaya bebas daripada kemiskinan dalam tempoh dua tahun, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Ini kerana, katanya, program itu membolehkan peserta menjana pendapatan, sekali gus membolehkan mereka keluar daripada kancah kemiskinan.

Beliau berkata, peserta IPR bagi model Insan misalnya juga diharap dapat mencari model perniagaan lain, termasuk membuka warung selepas menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

“Selepas mereka berjaya dan bergerak ke model perniagaan lain seperti gerai sendiri, maka peluang itu akan dibuka kepada penerima lain.

“Atas alasan ini, kita berpendapat jika program ini dilaksanakan di seluruh negara, kita dapat mewujudkan mekanisme bagi membantu miskin tegar dan B40 secara lebih mampan dan berterusan,” katanya ketika melancarkan mesin layan diri IPR di Stesen Sentral.

Rafizi berkata, berbeza dengan program lain sebelum ini, aset terbabit sebaliknya milik kerajaan yang membolehkan ia memastikan penerima tidak hanya layak dari segi sosioekonomi, namun benar-benar berminat menaik taraf pendapatan mereka.

Sebagai contoh, katanya, peserta hanya perlu menyediakan modal bagi kos makanan dan tidak akan dikenakan sebarang sewaan mesin dan elektrik.

“Kita bukan saja tidak mengenakan sewa, malah cas elektrik juga ditanggung pemilik tapak atau rakan strategik…usahawan hanya mengeluarkan modal pusingan semata-mata.

“Ini juga dapat memastikan harga jualan lebih murah, iaitu antara RM1 hingga RM5.”

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan kira-kira 100 mesin layan diri IPR dapat diperluas ke lokasi tumpuan pengunjung seperti stesen transit aliran ringan (LRT) Lembah Klang serta universiti di seluruh negara.

Pada masa sama, pihaknya juga menyasarkan mesin itu dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah program Insan secara menyeluruh.

Sehingga kini, sebanyak 1,100 rakan strategik menyatakan hasrat untuk menyediakan mesin IPR itu.

IPR yang merangkumi tiga model, iaitu Insan, Intan dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan), dilancarkan pada 26 Feb lalu untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan menyasarkan 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar dan B40 menyertai IPR bagi menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.