Lelaki maut, treler terjunam dalam gaung

Lelaki maut, treler terjunam dalam gaung

Seorang lagi mangsa cedera dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa dari gaung. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera selepas treler dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke gaung di Jalan Tenom-Kemabong di Tenom, Sabah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tenom digerakkan ke lokasi selepas menerima makluman pada 9.50 pagi semalam.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah treler yang terbabas lalu jatuh ke gaung.

“Terdapat dua mangsa terbabit, seorang mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Seorang lagi mangsa yang berada di luar kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mayat mangsa serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 11.42 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.