
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, sukar untuk DAP menampilkan diri sebagai parti berbilang kaum, melainkan ia mempunyai ramai Adun dan Ahli Parlimen berbangsa Melayu.
“Jika mereka dapat meningkatkan bilangan wakil rakyat Melayu, ia akan membawa perubahan besar.
“Ia bukan sekadar jumlah calon yang diletakkan, tetapi jumlah calon yang menang,” katanya kepada FMT.
DAP sekian lama bergelut untuk bertapak dalam komuniti Melayu, dengan musuh politik melabelnya sebagai parti cauvinis atas perjuangannya bagi bahasa Cina dan sekolah persendirian Cina.
Pada PRU 2022, DAP meletakkan 13 calon Melayu di kerusi Parlimen dan DUN tetapi hanya tiga menang – Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Young Syefura Othman (Bentong) dan Syahredzan Johan (Bangi).
Ketiga-tiga kemenangan itu di kerusi Parlimen, dengan pengundi majoriti bukan Melayu atau dengan peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi.
Di Malaysia, Chin berkata, populasi Cina semakin berkurangan manakala populasi Melayu semakin meningkat. Ini bermakna mempunyai lebih ramai pemimpin Melayu di Parlimen lebih penting buat DAP, katanya.
Penganalisis politik, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, antara cabaran dihadapi DAP ialah cara pemimpinnya menggesa pembaharuan dilaksanakan.
Katanya, pendekatan mereka tidak selalunya selari dengan sensitiviti agama orang Melayu.
“Tidak cukup sekadar memperuntukkan dana untuk pendidikan Islam dan program memartabatkan Islam seperti yang dilakukan di Pulau Pinang. DAP juga perlu menunjukkan sikap seiring orang Melayu-Islam dalam banyak isu sosial.”
Beliau memetik kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, termasuk Charles Santiago dan Kasthuri Patto, berhubung layanan terhadap golongan minoriti seksual dan agama.
Katanya, walaupun kenyataan itu pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian parti, penentang DAP boleh menggunakannya sebagai hujah untuk menyerang parti itu, dengan menuduh DAP liberal, antara lain.